0
A+ A-
PTPTN dedah punca gaji dipotong hingga tinggal RM19 | KUALA LUMPUR 27 Dis. - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menjelaskan, potongan gaji mandatori penjawat awam yang dipersoalkan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) adalah antara langkah terakhir apabila pelbagai usaha mengutip balik pinjaman, gagal dilakukan.

Pengerusinya, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, beliau percaya menerusi langkah ini dapat menyelesaikan masalah penjawat awam yang culas membayar balik pembiayaan PTPTN sekali gus membantu lebih ramai anak penjawat awam dan swasta yang memerlukan pembiayaan pendidikan.

Katanya, bebanan kewangan PTPTN kini begitu tinggi kerana PTPTN mempunyai komitmen RM54.6 bilion kepada lebih 2.5 juta pelajar termasuk sebahagiannya terdiri daripada anak-anak penjawat awam sendiri lapor Utusan.

Gaji dipotong tinggal RM19, ini penjelasan PTPTN

“Saya yakin CUEPACS boleh bersama-sama membantu menyelesaikan masalah pinjaman dalam kalangan penjawat awam kerana PTPTN sentiasa berusaha memainkan peranan untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan awam melalui penyediaan dana pendidikan yang mencukupi kepada semua.

“PTPTN komited mendidik masyarakat agar bersama-sama bertanggungjawab terhadap pinjaman mereka kerana beban kewangan PTPTN ini juga merupakan bebanan kewangan negara dan perlu dipikul oleh semua pihak,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Baru-baru ini, CUEPACS bercadang akan menarik balik kebenaran PTPTN membuat pemotongan gaji ke atas penjawat awam sekiranya agensi itu masih melaksanakan pemotongan maksimum kerana disifatkan membebankan kedudukan kewangan mereka.

Pada 9 Julai lalu, Jabatan Per­khidmatan Awam (JPA) mengeluarkan arahan agar penjawat awam melaksanakan bayaran balik melalui potongan gaji mulai 1 September lalu melibatkan lebih 138,201 kakitangan yang mempunyai tunggakan atau hanya membuat bayaran sekali-sekala.

Shamsul Anuar menambah, PTPTN juga menggesa para peminjam yang mempunyai masalah dengan pelaksanaan pemotongan gaji mandatori, bertemu dan berunding dengan pengurus dana tersebut.

Katanya, ini kerana pelbagai kaedah boleh dilakukan dan satu daripadanya peminjam yang terlibat boleh membuat penstrukturan semula hutang dengan jumlah ansuran berasaskan kemampuan bagi tempoh tidak melebihi umur 60 tahun dan tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan.

Selain itu, katanya, jumlah ansuran bayaran balik baharu boleh dipertimbangkan berdasarkan kepada gaji dan umur peminjam.

“Jadi, peminjam dinasihatkan untuk membawa bersama slip gaji bagi memudahkan proses rundingan. Justeru, ia tidak akan membebankan sekiranya peminjam dapat hadir berunding dan menstrukturkan semula hutang mereka.” katanya.

Catat Ulasan Blogger

 
Top