0
A+ A-
Lelaki terpaksa lakukan dua kerja untuk menyara hidup | SETIAP pagi, Muhammad Jafni Jaafar dan isteri akan bersiap untuk ke tempat kerja selesai mengerjakan solat Subuh.

Sekitar jam 7 pagi, mereka akan bertolak dari kediaman mereka di Taman Muda, dekat jalan Klang Lama mereka menuju ke tempat kerja masing-masing. Isterinya akan berkereta ke Menara Telekom Malaysia (TM), Bangsar sementara Jafni akan menunggang motor jenis Yamaha Nouvo LC 150cc ke Cheras lapor Astro Awani.

Kerani JAWI sanggup buat 2 kerja demi isteri dan anak bakal lahir
MUHAMMAD JAFNI: Merancang untuk menjalankan perniagaan sendiri supaya dia ada masa sendiri dan tidak terikat kepada waktu kerja yang tetap.

Sebelum itu, Jafni akan ke rumah orang tuanya di Kampung Pandan Dalam untuk mengambil dan menghantar ibunya yang bekerja sebagai pembantu am ke pejabat berdekatan, sekiranya adik-adiknya yang lain sibuk dan tidak berkesempatan.

Jafni bekerja sebagai kerani di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) yang bertempat di Masjid Al-Imam Asy-Shafie, Taman Maluri.

Ada kalanya dia akan membuat kerja-kerja ‘peon’, iaitu menghantar surat-surat jemputan majlis anjuran JAWI kepada tetamu undangan. Baru tiga tahun dia ditempatkan di situ. Sebelum ini, dia bertugas di ibu pejabat JAWI di Kompleks Pusat Islam, Kuala Lumpur sejak 2008.

Seperti semua penjawat awam, kerjanya bermula jam 8.30 pagi dan berakhir 5.30 petang. Bagaimanapun, harinya tidak berkesudahan seperti kebanyakan penjawat awam lain. Habis sahaja kerja di JAWI, dia akan bersiap untuk kerja keduanya di Tesco Extra Ampang.

Dari jam 6 petang hingga 10 malam, dia bertugas di bawah unit keselamatan pasar raya itu. Sekitar 10.30 barulah dia kembali ke rumahnya.

Demi keluarga

“Nak buat macam mana, demi keselesaan keluarga. Kalau nak bergantung kepada gaji sedia ada, memang tak cukup. Barang semua mendadak naik harga,” kata lelaki berusia 31 tahun itu.

Kediaman Jafni di Taman Muda itu tidaklah besar. Seunit kediaman di apartmen kos sederhana itu hanya ada dua bilik dengan bayaran sewa bulanan sekitar RM700, cukup sebagai teduhan keluarga kecil itu. Mereka berdua mula menyewa di situ sejak mendirikan rumah tangga pada Mac.

Pendapatan isi rumahnya pula sekitar RM5,000 sebulan. Selain sewa rumah, pelbagai komitmen lain perlu dilunaskan seperti ansuran kereta, serta bayaran pinjaman bank yang pernah dibuat sebelum ini untuk menjalankan perniagaan.

“Jadi kakitangan kerajaan ni antara keuntungannya adalah mudah nak buat pinjaman, jadi saya pun buatlah untuk jalankan satu perniagaan beberapa tahun lepas. Malangnya tidak menjadi, tapi pinjaman tetap perlu dibayar sampai hari ini.

“Tambahan pula isteri bakal melahirkan cahaya mata pertama kami awal Februari tahun depan. Sedangkan yang sedia ada sebelum ada anak ini pun cukup-cukup makan, bila fikir nak ada anak saya kena kerja lebih sikitlah.

“Kos penjagaan anak sahaja bukan murah sekarang ni, yuran pengasuh sahaja lebih RM300. Masuk lampin dan susu, sekurang-kurangnya RM1,000 sebulan,” jelasnya.


Korban masa

Di Tesco, dia dibayar RM7 sejam dan dia bekerja empat jam setiap hari kecuali Isnin. Dan sudah pasti, dia terpaksa korbankan masa bersama keluarganya.

“Setiap hari hampir 13 jam saya di tempat kerja. Kesempatan meluangkan masa dengan isteri dan keluarga di Kampung Pandan Dalam hanya hadir pada hujung minggu, itu pun waktu siang sahaja,” maklumnya.

Semuanya dilakukan demi kestabilan rumahtangganya. Bertugas sebagai kakitangan JAWI, dia sering berhadapan dengan banyak kes perceraian, dan sebahagian besarnya berpunca daripada kegagalan kewangan. Dia tidak mahu perkara sama berlaku pada keluarganya.

Pada masa sama, dia juga percaya bahawa kebahagiaan rumah tangga terbentuk apabila perhatian yang secukupnya diberikan antara satu dengan yang lain. Jafni tidak mahu kerana terlalu mencari wang, keluarganya tidak dapat bersamanya.

“Lebih-lebih lagi saya bakal mendapat anak, sudah pasti perhatian perlu diberikan kepadanya. Saya khuatir, budak-budak sekarang semakin liar tanpa pengawasan ibu bapa. Umur tak sampai 12 tahun dah merayau-rayau di pusat beli belah. Yalah, ibu bapa sekarang sibuk bekerja,” ceritanya.

Disebabkan itu, kerjanya di Tesco itu bukan untuk jangka masa yang lama. Ia sekadar untuk menampung kos persediaan menyambut kelahiran anak sulungnya di samping mengumpul sedikit modal. Dia merancang untuk menjalankan perniagaan sendiri supaya dia ada masa sendiri dan tidak terikat kepada waktu kerja yang tetap.

“Itulah, saya rancang macam nak berniaga burger di sekitar kawasan rumah saya ni. Tengoklah, apa ikhtiar lain yang boleh saya buat. Kecil-kecilan pun tak apa, sekurang-kurangnya saya dapat bersama keluarga.

“Saya baru berkahwin, permulaan hidup memang agak sukar. Tapi mahu tak mahu memang kena kerja keras sikit lah, nak buat macam mana,” kata Jafni tenang.

ISTERI SUKA SUAMI TAHAN LAMA!
LAMPU SOLAR ISTIMEWA-JIMAT BIL ELEKTRIK ANDA & MUDAH DIPASANG!
Wujudkan Suasana Islamik Rumah Anda Dengan Alunan Azan Setiap Waktu, Bacaan Quran & Zikir! Free Poslaju & Free Gift!

Catat Ulasan Blogger

 
Top