0
A+ A-
Rakyat makin terdesak, tak boleh harap gaji bulanan sahaja | Terpaksa buat dua kerja dalam satu masa untuk tampung kos sara hidup. Itu realiti bagi mereka yang hidup berkeluarga dan tinggal di bandar besar seperti Kuala Lumpur.

Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Hakikat yang terpaksa ditelan jika mahu hidup sedikit senang. Tidak boleh harap makan gaji bulan semata-mata kerana memang tidak cukup!

Bagi seorang kakitangan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), Muhammad Firdaus Radzi, 26, dia perlu melakukan dua pekerjaan dalam masa sehari bagi menampung kos perbelanjaan yang semakin meningkat saban hari bagi menampung kos kehidupan di bandar.

“Saya menetap di Kuala Lumpur sejak dua tahun lalu, dan disebabkan oleh gaji yang tidak mencukupi, saya terpaksa membuka perniagaan menjual burger selepas waktu bekerja bagi menambah pendapatan sedia ada,” katanya kepada Sinar Harian.

Rakyat kini tak boleh harap gaji bulanan semata-mata

Muhammad Firdaus berkata, dia yang baru sahaja berkahwin pada Oktober lalu perlu melakukan dua pekerjaan memandangkan isterinya kini masih berusaha mencari kerja bagi membantu menambah pendapatan mereka sekeluarga.

Ujarnya, perniagaan kecil-kecilan yang diusahakan sejak setahun lalu ternyata sedikit sebanyak membantu memandangkan gaji yang diperoleh daripada pekerjaan tetapnya sebagai kerani hanya sekitar RM1,700 sebulan.

“Memang penat kerana selepas waktu bekerja, saya perlu bergegas untuk membuka perniagaan ini pula, namun ia dapat membantu menambah pendapatan bulanan kami sekeluarga.

“Walaupun kena bekerja keras, saya masih percaya pada rezeki ALLAH,” katanya.

Dengan kenaikan kos sara hidup di bandar pada masa kini, Muhammad Firdaus memaklumkan dia sememangnya tidak berkemampuan untuk memiliki kediaman sendiri dan terpaksa menyewa disebabkan harga rumah yang mahal.

Menurut Pengurus Perhubungan Awam di sebuah syarikat swasta, Siti Nur Aishah Mohamad, 26, pula, dia perlu menjalankan perniagaan butik online sejak dua tahun lalu bagi menampung kos perbelanjaan harian yang semakin meningkat.

“Idea bagi membuka perniagaan ini adalah cetusan bersama rakan baik saya setelah kami merancang untuk berkahwin memandangkan duit simpanan tidak mencukupi berikutan kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Jika kami hanya membuat satu pekerjaan sahaja, ia tidak dapat membantu dalam untuk menambah wang simpanan kami memandangkan harga barangan pada masa kini semakin naik,” katanya.

Menurut pemilik perniagaan Bani&Co ini, kos sara hidup yang semakin meningkat sememangnya beri kesan kepada golongan muda yang baru menceburi alam pekerjaan.

Selain itu, penjawat awam, Muhaimim Mokhtar berkata, kenaikan kos sara hidup pada masa kini beri kesan ketara memandangkan masyarakat perlu berusaha lebih untuk mencari pendapatan tambahan.

“Sejak harga barangan semakin naik, saya telah buat keputusan menjadi pemandu uber separuh masa bagi menambah pendapatan saya.

“Pada hujung minggu, saya dapat menambah pendapatan sebanyak RM200-RM300 bagi menampung gaji sedia ada,” katanya.

Muhaimim berkata, keputusan tersebut dilakukan memandangkan pendapatannya yang tidak mencukupi berikutan perlu bayar banyak tanggungan pada setiap bulan.

Katanya, selepas salah seorang kenalan di laman sosial memberikan idea berkenaan, dia terus mendaftarkan diri menjadi pemandu uber bagi menambah pendapatan bulanannya.

“Jika tiada kerja sampingan ini, saya sudah semestinya tidak mempunyai belanja yang mencukupi pada setiap bulan,” katanya.
ISTERI SUKA SUAMI TAHAN LAMA!
LAMPU SOLAR ISTIMEWA-JIMAT BIL ELEKTRIK ANDA & MUDAH DIPASANG!
Wujudkan Suasana Islamik Rumah Anda Dengan Alunan Azan Setiap Waktu, Bacaan Quran & Zikir! Free Poslaju & Free Gift!

Catat Ulasan Blogger

 
Top