0
A+ A-
Suami dibebaskan atas tuduhan bersubahat merogol isteri sendiri dengan rakan | Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepas dan membebaskan seorang suami daripada pertuduhan bersubahat merogol isterinya, bagaimanapun tertuduh dikenakan hukuman penjara empat tahun bagi pertuduhan menakut-nakutkan isterinya.

Pesuruhjaya Kehakiman Abu Bakar Katar melepaskan tertuduh daripada pertuduhan bersubahat merogol isterinya bersama seorang rakan selepas membenarkan rayuan terhadap sabitan dan hukuman penjara enam tahun yang dijatuhi Mahkamah Sesyen pada 29 Jun 2015 lapor Bernama.

Didakwa bersubahat merogol isteri sendiri dengan kawan, suami dibebaskan

Bagaimanapun mahkamah menaikkan hukuman penjara setahun yang dijatuhi Mahkamah Sesyen kepada empat tahun terhadap tertuduh berumur 25 tahun itu kerana melakukan ketakutan dan kecederaan ke atas isterinya untuk melakukan persetubuhan.

Abu Bakar memerintahkan hukuman penjara itu bermula pada tarikh tertuduh ditangkap iaitu 1 Jan 2014.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa bersubahat merogol isterinya bersama seorang rakan di sebuah rumah di Arau mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Mengikut pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan ketakutan dan kecederaan ke atas isterinya untuk melakukan persetubuhan di tempat dan pada masa sama mengikut Seksyen 375A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abd Latif manakala tertuduh diwakili Peguam Fatin Hayati Abdul Rahman.

Catat Ulasan Blogger

 
Top