0
A+ A-
Industri minyak dan gas: ‘Apa akan terjadi jika saya dibuang kerja?’ | PENYUSUTAN harga minyak mentah global menjadi idaman setiap pengguna.

Namun begitu, dalam kegembiraan pengguna umum tentang situasi tersebut, ada derita yang ditanggung oleh pihak lain gara-gara kejatuhan harga emas hitam itu.

Ia menjejaskan syarikat minyak dan gas serta mengurangkan hasil kerajaan yang banyak bergantung kepada hasil komoditi itu.

Apa akan terjadi jika pekerja industri minyak dan gas dibuang kerja?

Bagi syarikat yang terlibat dalam industri huluan atau hiliran petroleum, pengurangan kos perlu dilaksanakan dan sebagai pembuangan pekerja adalah satu daripada kaedah yang dilaksanakan.

Petronas dalam kenyataan baru-baru ini mengumumkan akan meneliti semula status pekerja, gaji dan tempoh bekerja kakitangannya.

Di peringkat antarabangsa pula, kebanyakan syarikat besar seperti Shell, BP dan Technip mula melakukan pembuangan pekerja.

Astro AWANI menjejaki beberapa individu dalam sektor industri minyak dan gas di Labuan untuk mereka kongsikan tentang kejayaan masa lalu, keperitan situasi semasa dan harapan masa depan.

Industri minyak dan gas: ‘Apa akan terjadi jika saya dibuang kerja?’

Sedia dibuang kerja

Isli Ismail, 42, adalah antara yang menerima berita duka sekitar dua tahun lalu apabila namanya termasuk dalam senarai pemberhentian pekerja dalam usaha syarikatnya untuk mengurangkan kos operasi.

“Lebih kurang sebulan sebelum saya dibuang kerja, majikan saya sudah memberitahu bahawa kami perlu bersedia untuk dibuang kerja.

Industri minyak dan gas: ‘Apa akan terjadi jika saya dibuang kerja?’

“Selepas sebulan, saya diberitahu bahawa perkhidmatan saya tidak diperlukan lagi disebabkan penurunan harga minyak seluruh dunia,” kata Isli.

Bagai menerima tamparan kuat dalam hidupnya, Isli paling gentar berdepan hakikat tidak memiliki sebarang pekerjaan, atau pelan kedua.

Berbekalkan kecekalan untuk bangkit semula demi diri dan keluarga, Isli sanggup bertatih dengan menjadi pemandu lori demi sesuap nasi.

Tidak lama kemudian dia berjaya menyertai sebuah lagi syarikat minyak dan gas tempatan, dan tentunya dengan paras gaji yang tidak semewah dulu.

“Memang susah, kalau dulu pendapatan saya tinggi, sekarang jauh berbeza. Jadi, susahlah untuk menampung perbelanjaan keluarga,” katanya.

Bagi menampung kos sara hidup yang meningkat dan mendesak, Isli mencari waktu terluang untuk melibatkan diri dalam bidang katering kecil-kecilan.

Beliau berkata, sekiranya keadaan ini berterusan, kemungkinan besar beliau terpaksa menjual kereta miliknya.

Meminjam bank

Bagi seorang lagi bekas pekerja, Rusdi Mokti, 30, pinjaman bank menjadi jalan akhir baginya menampung perbelanjaan keluarga.

“Pasa masa itu, saya hanya dapat berfikir tentang anak-anak saya. Saya hanya perlu memberikan makanan dan minuman untuk mereka.

“Duit pampasan yang diberi juga sudah hampir kehabisan. Jadi untuk menampung perbelanjaan, saya terpaksa mengambil pinjaman bank dan itu pun tidak dapat menampung kos dengan sepenuhnya,” kata Rusdi.

Rusdi kini hanya menanti janji yang diberikan majikan lamanya untuk mengambilnya kembali jika harga minyak kembali meningkat.

Isli dan Rusdi adalah dua contoh individu yang sedang meniti satu tahap perit selepas mengucapkan selamat tinggal pada syarikat lama mereka. Begitupun, bagi yang masih meneruskan pekerjaan, kepastian bukan satu jaminan.

Kisah pembuangan pekerja sektor minyak dan gas ternyata menghantui mereka yang masih mencurahkan khidmat.

Seorang penyelia kanan syarikat perkhidmatan sektor minyak dan gas tempatan, Mohammad Ecooball Abu Bakar berkata, nasibnya juga bergantung kepada harga minyak semasa.

“Dari segi pendapatan syarikat kami turut terjejas setelah berlakunya krisis minyak. Saya juga bimbang akan kehilangan kerja,” kata Ecooball.

Industri minyak dan gas: ‘Apa akan terjadi jika saya dibuang kerja?’

Ketua Eksekutif Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF) Datuk CM Vignaesvaran berkata pembuangan pekerja dalam sektor minyak dan gas kini adalah dalam fasa awal dan dijangka berlanjutan.

“Apa yang kita melihat ialah permulaan bagi satu proses yang panjang. Kebanyakan syarikat mengurangkan tenaga pekerja susulan penyusutan harga minyak. Ia hanya permulaan.

“Tetapi kami juga mendengar bahawa ada sesetengah syarikat yang menyerap balik pekerjanya. Ini kerana syarikat-syarikat tersebut ingin mendapatkan pekerja yang memberi nilai tambah,” kata Vignaesvaran.

Bagaimanapun katanya, mereka yang kehilangan kerja boleh menggunakan pengalaman yang dimiliki untuk terlibat dalam sektor lain seperti pembuatan yang mempunyai prestasi yang baik buat masa ini.

Sektor lain turut terjejas

Sektor minyak dan gas yang menjadi nadi kehidupan di Labuan kini merubah landskap kehidupan penduduknya.

Pengangguran yang meningkat sekali gus menjejaskan kehidupan peniaga yang turut berkongsi limpahan rezeki emas hitam.

Menurut seorang peniaga yang hanya mahu dikenali dengan nama Zatinah, beliau terpaksa mengurangkan harga buah-buahan dalam usaha menarik kembali pelanggan yang semakin kurang akibat pembuangan pekerja dalam industri petroleum.

“ Saya terpaksa rugi… Tetapi saya berniaga untuk meneruskan kehidupan ” – Zatinah

“Saya terpaksa rugi. Sampai sekarang saya sudahpun rugi hampir RM30,000. Tetapi saya terpaksa berniaga untuk meneruskan hidup,” kata Zatinah.

Harapannya kini adalah pembukaan bangunan Pusat Transformasi Bandar (UTC) di sebelah lokasi gerainya akan kembali menghidupkan perniagaannya.

Selain peniaga makanan, pemandu teksi turut terkesan.

“Kami memang terjejas kerana pelanggan semakin kurang. Dulu pendapatan di Labuan, kalau sehari boleh dapat RM300. Sekarang susah dapat RM300, paling tinggi dapat RM80 sahaja,” kata seorang pemandu teksi bernama Mammanore.

Seorang lagi pemandu teksi, Abdul Ghani Said, berkata pendapatan sekarang walaupun dengan bekerja lebih masa masih belum mampu menyamai pendapatannya dahulu.

“Pendapatan satu teksi dulu, sekarang boleh dibahagikan kepada lima teksi.
“Walaupun kerja lebih masa, masih begitu sahaja. Jika kita menukar destinasi tempat letak teksi turut sama juga. Ini kerana kebanyakan pelanggan kami ialah pekerja sektor minyak dan gas,” katanya.

Pastinya bagi penduduk Labuan, satu langkah drastik diperlukan bagi membolehkan mereka kembali menampung kehidupan yang semakin sukar.

Fokus pelancongan dan pendidikan

Selepas kejatuhan industri petroleum, Labuan kini perlu mencari alternatif bagi merancakkan kembali ekonominya.

Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rosman Isli sudah mempunyai perancangan untuk kembali memulihkan aktiviti perniagaan di pulau berkenaan.

Menurutnya Labuan kini perlu memberi fokus kepada sektor pelancongan dan pendidikan.

Prasarana bagi menyokong dua sektor berkenaan sudah sedia ada dan kini ia hanya memerlukan promosi yang lebih hebat.

“Bilangan hotel di Labuan meningkat dalam beberapa tahun lepas. Begitu juga dengan restoran-restoran juga banyak tumbuh dan ini sebenarnya baik untuk pelancongan,” kata Rosman.

Menurutnya, persekitaran di Labuan juga cukup kondusif untuk dijadikan hab pendidikan.

“Labuan cukup bersih, aman dan selamat untuk dijadikan hab pendidikan bagi golongan pelajar.

“Kita ada beberapa institut pengajian awam juga. Walau bagaimanapun, bilangannya perlu ditingkatkan terutamanya kolej swasta supaya lebih pelajar antarabangsa akan datang ke Labuan,” kata Rosman.

Kata beliau, dengan kepelbagaian ekonomi ini bakal membuka peluang pekerjaan baharu sekali gus dapat membantu bekas pekerja sektor minyak dan gas untuk kembali mencari rezeki.

Catat Ulasan Blogger

 
Top