0
A+ A-
Nak pergi ke Greenland dan Denmark? Ini tips penting untuk orang Malaysia | Anda dinasihatkan melawat Greenland antara Mei hingga Oktober. Setelah itu Greenland, akan bergelap selama 3 bulan semasa musim sejuk. 
Pengenalan

Terletak di sudut paling utara dunia, Greenland adalah pulau terbesar di dunia yang terletak di Benua Amerika Utara di antara Lautan Artik dan Lautan Atlantik.

Ia adalah sebuah wilayah autonomi di bawah kedaulatan Kerajaan Denmark. Berkeluasan lebih kurang 2,100,000km persegi, pulau ini adalah tiga kali ganda lebih kecil dari Australia.

Meskipun digelar pulau terbesar di dunia, Greenland hanya mempunyai penduduk berjumlah 56,480 (mengikut bancian 2013), antara kawasan yang berpendudukan paling jarang di dunia lapor Astro Awani.

Tips penting jika anda ingin mengembara ke Greenland dan Denmark

Tidak seperti yang digambarkan namanya, Greenland kekurangan tanah hijau yang subur, sentiasa diliputi lapisan ais yang tebal dan bersuhu ekstrem, boleh mencecah suhu 40 darjah Celsius di bawah paras beku pada musim dingin.

Ini mungkin menyumbang kepada kurangnya jumlah penduduk di tanah di hujung utara dunia ini. Greenland juga dikenali sebagai Kalaalit Nunaat di dalam bahasa Greenlandic (bahasa suku asli kaum Inuit) atau Grønland dalam Bahasa Denmark.

Nama Greenland diberikan oleh seorang penjenayah berketurunan Norway dari Iceland, Erik the Red, yang dibuang ke situ. Di sebalik cuaca melampau dan aisberg yang menghalang pelayarannya, beliau berjaya menemukan tanah hijau di sudut barat daya pulau tersebut dan menamakannya ‘Grønland’ bermaksud Tanah Hijau dengan harapan lebih ramai penduduk Scandinavia akan berhijrah ke situ.

Nama Kalaalit Nunaat pula bermaksud ‘tanah Kalaalit’ merujuk kepada pribumi kaum Inuit di situ. Kota Nuuk adalah kota terbesar di Greenland, sekali gus menjadi ibu negeri wilayah autonomi Denmark ini. Nuuk juga dikenali dalam bahasa Denmark sebagai Godthåb, beerti Good Hope – ‘harapan baik’.

Berbanding kawasan-kawasan lain di Eropah mahupun Amerika Utara, tiada kerajaan berdaulat di bawah pentadbiran masyarakat asli Inuit pernah melebarkan kedaulatannya ke Greenland. Greenland telah diduduki seawal Tahun 2500 Sebelum Masihi. Bangsa Eropah, iaitu masyarakat kulit putih Iceland dan Norway berhijrah dalam kawanan 14 bot diketuai Erik the Red sejak tahun 986.

Pada tahun 1262, Greenland diletakkan di bawah kedaulatan Norway dan diserahkan kepada Denmark pada tahun 1814. Malah, selepas Perang Dunia Kedua, Amerika Syarikat ada memberi tawaran sebanyak AS$100 juta kepada Denmark untuk membeli Greenland, tetapi tawaran ini ditolak. Greenland kekal sebagai wilayah di dalam Denmark dan telah diberikan status autonomi pada tahun 2009 oleh Copenhagen. Greenland dikatakan sedang bergerak menuju kemerdekaan penuh dari Denmark menjelang tahun 2021.

Nak pergi ke Greenland dan Denmark? Ini tips penting untuk orang Malaysia

Kini, dari segi demografi, Greenland didiami 88 peratus pribumi Inuit dan 12 peratus penduduk Denmark dan kaum Eropah yang lain. Bahasa Greenlandic dipakai secara meluas di Kota Nuuk, Greenland dan rakyat Greenland, terutamanya generasi muda boleh berbahasa Inggeris dengan baik.

Perjalanan ke Greenland

Tujuan utama saya ke Greenland adalah untuk menyertai persidangan anjuran Institut Island Dynamics bernama ‘Indigenous Resources: Decolonisation and Development’ pada Oktober 2015 yang lalu.

8 fakta berguna bagi warga Malaysia yang ingin berkunjung ke Greenland:

  1. Perjalanan pergi-balik Kuala Lumpur ke Nuuk adalah agak mahal kerana perlu ke Copenhagen, Denmark atau ke Reykjavik, Iceland dahulu.
  2. Malaysia Airlines tidak terbang ke Copenhagen. Etihad Airways ada menyediakan penerbangan ke Copenhagen menerusi Abu Dhabi, Emiriyah Arab Bersatu dan Dusseldorf, Jerman dengan kos sekitar RM2700.
  3. Keseluruhan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Dusseldorf mengambil masa 14 jam.
  4. Dari Dusseldorf, perjalanan ke Copenhagen akan ditempuh selama 1 jam 30 minit dengan Scandinavian Airlines atau Air Berlin.
  5. Hanya Air Greenland terbang dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kastrup, Copenhagen ke Kangerlussuaq International Airport, Greenland. Kos penerbangan adalah RM4,300 untuk pergi balik.
  6. Walaupun Greenland adalah sebahagian dari Denmark, jarak di antara keduanya hampir 3000km.
  7. Alternatif lain adalah untuk terbang ke Greenland dengan Icelandair dengan kos yang lebih kurang sama harganya.
  8. Adalah dinasihatkan untuk berkunjung ke Greenland di antara bulan Mei hingga Oktober. Setelah itu Greenland bergelap untuk 3 bulan bersempena musim sejuk.


Saya agak bertuah kerana mendapat wang sagu hati dari Maritime Institute of Malaysia (MIMA) kerana perkhidmatan saya sebagai penilai luar untuk buku terbitan mereka. Wang itu cukup untuk menampung 60 peratus kos kepergian saya ke sana.

Penerbangan dari Copenhagen ke Kangerlussuaq, Greenland berlepas setiap pagi pada jam 9 pagi dengan Air Greenland. Oleh itu, pengembara yang hendak ke Greenland harus bermalam di Copenhagen untuk satu hari bagi menunggu penerbangan keesokan paginya.

Copenhagen-Malmo

Seperti kota-kota Eropah lain, Copenhagen dihubungkan dengan sistem pengangkutan keretapi yang sangat baik. Wang Danish Krone bernilai separuh dengan wang Ringgit Malaysia akan tetapi harga barang di Copenhagen sangat mahal. Nilai Danish Krone sama seperti Dolar Hong Kong tapi kos hidup di sana sangat tinggi berbanding Malaysia.

Nak pergi ke Greenland dan Denmark? Ini tips penting untuk orang Malaysia

Bagi pengembara yang mahu transit sahaja di Copenhagen, boleh memilih untuk bermalam di Lapangan Terbang atau bagi yang memerlukan hotel dengan kos yang berpatutan boleh bermalam di Copenhagen GO! Hotel yang terletak berdekatan Stesen Tarnby, 3 minit dari Lapangan Terbang dengan menaiki tren.

Copenhagen GO! Hotel berharga lebih kurang RM300.00 semalam (paling murah untuk kawasan sekitar Lapangan Terbang Copenhagen). Kos dari Lapangan Terbang Copenhagen ke Stesen Tarnby adalah DKK24, bersamaan RM12.00 (memang sudah dikatakan tadi Copenhagen adalah sebuah kota yang mahal).

9 tips berguna untuk pengembara Malaysia ke Copenhagen:

  1. Passport Malaysia boleh digunakan untuk berkunjung ke mana-mana wilayah Eropah tanpa perlu visa, termasuk Greenland. Sekiranya terbang bersama Etihad ke Copenhagen, urusan imigresen akan dijalankan di Dusseldorf, tidak perlu melewati imigresen lagi di Copenhagen. Jadi sekiranya waktu transit di Dusseldorf singkat, pastikan anda berlari menuju ke kaunter imigresen.
  2. Hampir semua penduduk di Copenhagen boleh berbahasa Inggeris, jadi jurang bahasa bukanlah suatu masalah yang besar.
  3. Rugi kalau tidak naik keretapi menyeberang Selat Oresund untuk pergi ke Malmo, Sweden. Malmo adalah sebuah kota kecil yang sememangnya patut dikunjungi – kota pinggir laut yang indah dan boleh dicapai dalam masa setengah jam sahaja dari Copenhagen, Denmark!
  4. Tiket pergi balik dari Copenhagen ke Malmo adalah DKK358 sekitar RM179.
  5. Tidak perlu menukarkan wang kepada Swedish Krone kerana Danish Krone diterima di Malmo tetapi tukaran wangnya adalah dalam duit Sweden.
  6. Pusat kota Malmo dan sekitarnya tidak begitu besar dan boleh dicapai dengan berjalan kaki. Seperti kota Eropah lain, kota Malmo dilengkapi mall pejalan kaki yang luas dan besar, bangunan-bangunan lama dan taman-taman menghijau.
  7. Sekiranya sudah puas menikmati Malmo, boleh berangkat pulang ke Copenhagen untuk mengunjungi bandaraya ini yang hampir mirip tatakotanya dengan Malmo.
  8. Stesen Copenhagen Central terletak di tengah-tengah bandar dan dari sini, pengunjung boleh berjalan kaki untuk ke Muzium Copenhagen atau berjalan-jalan di mall-mall terbuka di sini.
  9. Makanan halal banyak terdapat di Copenhagen yang kini didiami banyak imigran dari Timur Tengah.


Nak pergi ke Greenland dan Denmark? Ini tips penting untuk orang Malaysia

Copenhagen-Kangerlussuaq-Sisimiut-Nuuk

Tidak seperti jarak di antara Kuala Lumpur ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur yang mencecah lebih dari 50km, Lapangan Terbang Antarabangsa Kastrup terletak hanya 13km dari pusat bandaraya Copenhagen. Perkhidmatan tren metronya 24jam.

Nak pergi ke Greenland dan Denmark? Ini tips penting untuk orang Malaysia

Penerbangan ke Kangerlussuaq, satu-satunya kota di Greenland yang dilengkapi lapangan terbang yang boleh memuatkan pesawat Boeing adalah 10 jam 30 minit (termasuk waktu transit). Dari jendela pesawat ketika melintasi Pulau Greenland, saya dapat lihat dataran ais luas terbentang tanpa kelihatan apa-apa hidupan sekalipun.

Kangerlussuaq atau nama tempatannya, Stromje Stromford, adalah bekas pangkalan tentera Amerika Syarikat sewaktu Perang Dunia Kedua.

Nak pergi ke Greenland dan Denmark? Ini tips penting untuk orang Malaysia

Lapangan Terbang Kangerlussuaq sangat sederhana, dan hanya mempunyai sebuah kafe.

Waktu menunggu di Kangerlussuaq adalah 4 jam, dan berikut adalah 3 perkara yang boleh penuhi masa anda semasa menunggu:

  • Berfoto di Papan Arah ‘Top of the World’, titik paling dekat dengan Kutub Utara yang boleh dicapai menggunakan Pesawat Boeing. Dari Kangerlussuaq, jarak penerbangan ke titik paling utara dunia itu secara total adalah 3 jam 15 minit.
  • Jalan-jalan keliling di kota kecil ini yang didiami hanya 556 orang – bangunan-bangunan yang terdapat di sini berbentuk kotak-kotak kabin – ringkas tapi menarik bentuknya. Suhu udara di Kangerlussuaq pada bulan Oktober adalah takat beku.
  • Sekiranya bermalam di Kangerlussuaq, boleh turut serta bersama ‘tour’ untuk ke ‘icecaps’ atau lapisan ais kekal. Hanya di Kangerlussuaq ‘icecaps’ ini boleh dicapai dengan kereta. Harga tour adalah dalam DKK325 bersamaan RM150.00 untuk seorang.

Nak pergi ke Greenland dan Denmark? Ini tips penting untuk orang Malaysia

Dari Kangerlussuaq, saya menyertai pesawat ATR untuk terbang ke Sisimiut, pekan kecil dengan penduduk lebih kurang 5000 orang di pantai barat Greenland yang terletak lebih kurang 706km dari Kangerlussuaq. Waktu transit di Sisimiut adalah 45 minit, dan saya mengambil kesempatan berfoto di kawasan sekitar Lapangan Terbang Sisimiut yang berlatarbelakangkan Gunung Nasaasaaq yang diliputi salji pada ketika itu. Disebabkan suhu sejuk yang agak melampau, tumbuh-tumbuhan renek dilihat mendominasi pekan ini.

Nak pergi ke Greenland dan Denmark? Ini tips penting untuk orang Malaysia

Saya agak bertuah untuk penerbangan final leg ke Nuuk kerana cuaca sangat baik dan lanskap semulajadi Greenland dapat dilihat dengan jelas. Pemandangannya sungguh mengasyikkan! Tanah Greenland diliputi salji kekal yang memutih, persis filem animasi Frozen.

Dataran salju di Greenland pula dibatasi sungai-sungai atau fjord yang mengalir air berwarna biru kehijauan merentasinya. Setelah terbang selama 1 jam, akhirnya saya tiba di destinasi terakhir, Nuuk, ibu negeri bagi ‘Negara Greenland’, wilayah autonomi di dalam Denmark.

Perkhidmatan teksi dari Lapangan Terbang Nuuk ke Kota Nuuk adalah lebih kurang DKK100, RM50– amaun yang sangat mahal kerana jarak di antara keduanya hanyalah 3km. Kalaulah cuaca tidak terlalu sejuk, mahu saja berjalan kaki dari lapangan terbang ke pusat kotanya.

Nuuk

Kota Nuuk mempunyai hampir 17,000 orang penduduk – satu-satunya ‘metropolis’ di tanah kutub ini. Bersaiz lebih kecil dari Arau, Perlis, kota Nuuk mempunyai bangunan parlimennya sendiri, pusat beli belah, sebuah Hotel bertaraf 4 bintang, kafe-kafe dan bar, stadium, sebuah pelabuhan dan yang paling aneh, sebuah universiti – University of Greenland, universiti terkecil di dunia.

Disebabkan Nuuk bukanlah destinasi pelancongan yang popular, kos penginapan di hotel sangatlah mahal di kota ini yang boleh mencecah RM1,500 semalam untuk Hotel Hans Egede (satu-satunya hotel dalam erti kata sebenar di kota ini) dan RM600 semalam untuk motel-motel biasa.

Menerusi Tupilak Travel (www.tupilak.gl), saya menguruskan penginapan homestay yang berharga DKK500 semalam (RM307), masih mahal, tetapi inilah harga yang perlu dibayar untuk berkunjung ke Nuuk, Greenland. Adalah mustahil untuk mendapatkan penginapan dengan harga kurang dari RM100 semalam di kota ini. Saya ditempatkan bersama sebuah keluarga hos, dan disambut oleh Puan Hansine Geisler, seorang wanita berketurunan Danish yang telah tinggal di Nuuk hampir sepanjang hayatnya. Selain saya, Puan Geisler juga menjadi hos untuk seorang pemuda Rusia, Vladimir Gavrilenko yang turut serta menyertai persidangan di University of Greenland. Homestay yang disediakan sangat selesa dan terletak hanya 5 minit berjalan dari pusat kota Nuuk.

Masyarakat di Nuuk terutama generasi muda fasih berbahasa Inggeris dan tiada masalah komunikasi boleh berlaku di kota ini. Internet 3G adalah tersangat mahal, akan tetapi perkhidmatan internet yang percuma dan laju boleh dinikmati di Perpustakaan Nuuk. Nuuk adalah kota kecil dan segalanya boleh dicapai dengan berjalan kaki – tergantung sama ada kuat untuk menghadapi cuaca sejuknya yang agak mencabar. Pada hari ketibaan saya, salji turun dengan banyak dan angin dingin bertiup dengan agak kencang.

Berikut adalah perkara-perkara yang boleh dilakukan di Nuuk (semuanya bergantung dengan ketahanan tubuh menghadapi cuaca sejukbeku):

  • Pastikan diri sendiri membawa baju panas dan kelengkapan seperti makanan dan ubat-ubatan untuk menghadapi cuaca dingin.
  • Pastikan wang yang dibawa untuk berbelanja melebihi DKK2000 (RM1200) untuk wang makan dan kontigensi – sekiranya berlaku kecederaan, perkhidmatan perubatan sangat mahal di sini.
  • Berkunjung ke Tugu Hans Egede (tokoh yang menubuhkan kota ini). Tugu ini terletak di atas bukit dan kota Nuuk tersergam dari sini. Benar tapi pelik, bangunan-bangunan kota Nuuk kelihatan bagai hiasan mainan Lego yang biasa kita lihat di kedai mainan.
  • Mengunjungi Gereja Hans Egede, gereja tertua di kota Nuuk.
  • Menziarahi Muzium Nuuk yang dibuka percuma kepada orang ramai bagi mempelajari sejarah kaum asli Inuit dan perkembangan Greenland.
  • Jalan-jalan di pusat kotanya yang kecil tapi agak hingar-bingar dengan aktiviti masyarakat setempat.
  • Mengambil foto di pinggir pantai di mana bekas-bekas aisberg dari musim dingin masih lagi terapung.
  • Berjalan kaki dari Kota Nuuk ke University of Greenland, yang berjarak kurang dari 2km – pemandangan sepanjang perjalanan sangat menarik dengan pemandangan gunung bersalji, laut berais serta senibina rumah tempatan yang menawan.


University of Greenland/ Illisimatusarfik

Selain mempunyai reputasi sebagai universiti terkecil di dunia dengan hanya empat fakulti dan 14 orang staf akademik, universiti yang ditubuhkan pada tahun 1987 ini dianggap sebagai salah sebuah universiti yang terletak paling utara di dunia. Kebanyakan subjek di ajar dalam bahasa Inggeris dan sedikit di dalam bahasa Greenlandic dan Danish. Pada tahun 2010, terdapat 197 pelajar yang mendaftar untuk mengikuti kursus pengajian tinggi di sini dan dikatakan jumlah pelajar telah meningkat dalam beberapa tahun yang lalu.

Di persidangan tersebut, saya amat bertuah untuk bertemu dengan Dr. Yaso Nadarajah, seorang pensyarah warganegara Malaysia yang dahulu pernah berkhidmat di Univeristi Putra Malaysia (UPM) tetapi sekarang mengajar di Royal Melbourne Institute of Technology (RMIT), Melbourne, Australia. Seringkali apabila kita berada di luar negeri, adalah mustahil untuk kita bertutur dalam bahasa kita sendiri. Walaupun sudah berada di Australia bertahun-tahun, Dr. Nadarajah tetap seorang rakyat yang mempunyai jati diri Malaysia yang kuat.

Dr. Nadarajah membentangkan kertas kerja kajiannya mengenai suku kaum asli di Papua New Guinea, manakala saya pula menyampaikan syarahan mengenai sumbangan orang Melayu dan bangsa Asia lain terhadap perkembangan undang-undang laut antarabangsa berjudul ‘Mare Liberum in the Malay Archipelago: A Forgotten Traditional Wisdom’. Persidangan di University of Greenland ini disertai oleh ahli akademik dari lebih 15 negara yang berkampung di Nuuk selama lebih 3 hari.

Penerbangan Pulang

Segala yang menyeronokkan pasti akan berakhir. Setelah 5 hari di Nuuk, tiba saatnya untuk pulang. Penerbangan pulang ke Kuala Lumpur mengambil masa selama sehari setengah dan sangat melelahkan. Tetapi pengalaman manis di Greenland menutupi kepenatan saya yang sememangnya lelah untuk menghadapi perjalanan yang sangat jauh. Kota Nuuk adalah sebuah kota kecil yang mengasyikkan dan akan kekal dalam ingatan saya sampai bila-bila pun.

Mohd Hazmi bin Mohd Rusli (Ph. D) adalah pensyarah kanan di Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia dan profesor pelawat di School of Law, Far Eastern Federal University, Vladivostok, Rusia.
ISTERI SUKA SUAMI TAHAN LAMA!
LAMPU SOLAR ISTIMEWA-JIMAT BIL ELEKTRIK ANDA & MUDAH DIPASANG!
Wujudkan Suasana Islamik Rumah Anda Dengan Alunan Azan Setiap Waktu, Bacaan Quran & Zikir! Free Poslaju & Free Gift!

Catat Ulasan Blogger

 
Top