0
A+ A-
Beberapa minggu lepas, ketika saya bertugas di klinik, saya menerima sepasang ibubapa kepada dua orang anak. Seorang adalah bayi berusia 3 bulan, manakala abangnya adalah kanak-kanak berusia dua tahun. 

Ibubapa tersebut datang untuk mendapatkan pengesahan pegawai perubatan, bahawa anak mereka divaksin. Pengesahan tersebut diperlukan untuk mereka mendaftarkan anak-anak mereka ke sebuah taska berhampiran. 

Artikel ini adalah hasil nukilan Tuan Mohd Syamirulah Rahim.

"Boleh saya minta buku rekod kanak-kanak?"  - Tidak Ambil Vaksin Tidak Boleh Masuk Taska

"Start tahun ini je doktor, kena isi borang ini. Tahun lepas masa daftar abang sulung ni, tak ada pun!" sang ibu menjelaskan. 

Saya hanya tersenyum kerana saya tahu, taska tersebut pernah terlibat dalam sebuah kes penyebaran measles pada tahun lalu. Kita pernah melakukan siasatan dan kita dapati ada seorang pelajar taska, ibunya antivaks, pelajar tersebut mendapat measles, dan menjangkiti seorang bayi berusia lapan bulan (belum divaksin MMR) yang dihantar ke taska yang sama. 

Susulan dari siasatan tersebut, kita ada menghantar maklumbalas ke Jabatan Kebajikan Masyarakat dan taska tersebut sendiri untuk mengambil langkah-langkah sewajarnya memastikan kes tersebut tidak berulang kembali. 

Alhamdulillah, saya bersyukur apabila ibubapa tersebut membawa borang pengesahan vaksin yang diperlukan taska berkenaan. Maksudnya, taska tersebut benar-benar komited memastikan anak-anak asuhannya, SELAMAT, dan agar kes berkenaan tidak berulang kembali. 

Saya, lantas meneruskan pengesahan vaksinasi kedua-dua anak pasangan berkenaan. 

"Boleh saya minta buku rekod kanak-kanak?", saya meminta dari sang ibu. 

Alhamdulillah, sang ibu memberikan buku rekod kanak-kanak kedua-dua anaknya. Saya menyemak bahagian imunisasi, memerhatikan setiap bahagian imunisasi adalah lengkap up to date. Setiap ruangan ditandatangani dan dilengkapi dengan butiran vaksin (no.batch). 

Setelah itu, saya memeriksa sendiri kedua-dua anak tersebut. Tentu sekali, saya mencari parut BCG, sebagai pengesahan fizikal, bahawa anak tersebut, divaksin. 

Setelah berpuas hati, baru lah saya menandatangani borang pengesahan vaksin tersebut. 

"Alhamdulillah, terima kasih puan kerana bersikap bertanggungjawab, memvaksin anak puan. Bila anak puan divaksin, puan bukan hanya melindungi anak puan, tetapi juga anak-anak orang lain. Sebagai pegawai perubatan yang dah beberapa kali jumpa kes penyakit berjangkit seperti measles, saya tahu betapa sengsaranya penyakit ini. Atas sebab itu, bagi pihak ibubapa lain yang anak mereka sihat, saya mengucapkan terima kasih banyak-banyak kepada puan!" ujar saya. 

Saya bertukar salam dengan bapa kanak-kanak tersebut. Alhamdulillah, dalam dunia yang penuh kekeliruan dan tipudaya, ibubapa ini memilih untuk mempercayai orang yang ahli serta membuat pilihan yang tepat demi keselamatan masyarakat dan orang lain. 

Semoga Allah merahmati ibubapa ini, dan memelihara zuriat mereka. 

****

Take home message;

1. Semakin banyak taska yang mewajibkan anak-anak asuhan divaksin, sebelum didaftarkan. Pilihlah taska yang mengenakan syarat tersebut, kerana inshaAllah taska ini berikhtiar mengelakkan pusat asuhan mereka menjadi asbab penyebaran penyakit berjangkit. 

Jika ada taska yang masih belum mengenakan syarat ini, anda berhak menolak dari menghantar anak anda ke sana. Bahkan, anda berhak untuk tahu/bertanya, jika ada dalam kalangan anak-anak asuhan taska yang tidak divaksin. Jika pengusaha taska tidak memaklumkan kepada anda, jika terjadi penyebaran penyakit, mereka boleh dipertanggungjawabkan. 

Malah anda juga berhak menghantar aduan ke Jabatan Kebajikan Masyarakat, sekiranya anda mendapati sesebuah taska ada menerima anak yang tidak divaksin, atau tidak memeriksa status vaksinasi anak anda. 

Sebagai pengguna perkhidmatan, kita boleh menggunakan tekanan dari pihak kita (consumer) bagi memastikan taska tempat asuhan anak-anak kita, SELAMAT. 

2. Pemeriksaan pengesahan vaksinasi, adalah dilakukan oleh pegawai perubatan. Buku rekod kanak-kanak, tentu sekali mudah dipalsukan, namun bukti fizikal pada bayi tetap akan diperiksa. Pun begitu, ada ibubapa antivaks yang licik, yang hanya mengambil vaksin BCG atas alasan "darurat" bagi mendapatkan parut BCG sahaja. Ini juga supaya anak mereka tidak dianggap pendatang asing suatu hari nanti. 

Bagi kita, nak tipu, tipu lah. Kita tidak rugi apa-apa. Namun anda sebagai anggota masyarakat, jika anda tahu rakan sekerja atau jiran anda tersebut adalah antivaksin tegar, sebaiknya anda elakkan dari anak anda bergaul dengan anak mereka. 

InshaAllah, situasi ini hanya sementara. Apabila perlaksanaan myHIX diaplikasikan sepenuhnya beberapa tahun lagi, inshaAllah masalah ini akan selesai. Doktor boleh mendokumentasikan maklumat anak ini sejak awal kelahiran lagi, dan rekod anak ini akan jadi centralized dan boleh diakses dari mana-mana institusi kesihatan pada bila2 masa. Tidak ada lagi ruang "memalsukan rekod" oleh ibubapa sebegini. 

3. Saya tahu, terdapat doktor dan/atau klinik yang bersubahat memalsukan rekod vaksinasi kanak-kanak. Ada klinik yang siap chop dan sign doktor pada borang, tanpa perlu doktor periksa pun, dengan sedikit bayaran. 

Isu ini pernah bangkit tempoh hari, berkenaan antivaks yang kalut gelabah mencari doktor mana yang sudi memalsukan rekod vaksin kerana mahu membawa anak ke Mekah. Ya betul, golongan antivaksin ini, nak pergi beribadah pun sanggup menipu. 

Doktor/klinik yang bersubahat memalsukan dokumen adalah perbuatan khianat dan tidak beretika. Doktor dan klinik ini, boleh diadukan kepada MMC, dan lesen practice serta klinik mereka boleh dibatalkan.

Catat Ulasan Blogger

 
Top