0
A+ A-
KUALA LUMPUR: Keselesaan pengguna perlu sentiasa diutamakan oleh pengusaha perniagaan bagi melindungi hak pelanggan yang membeli produk jualan mereka.

Perkara ini ditegaskan Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk Nadzim Johan.

“Hak pengguna mesti sentiasa diberi keutamaan. Saya menyeru semua peniaga memberi layanan terbaik yang bersesuaian dengan konsep perniagaan selagi tidak melanggar etika dan bercampur gaul secara tidak munasabah,” katanya ketika dihubungi Mynewshub.

PPIM Ulas Isu Kes Pelanggan Rebut Tudung Fareeda

Nadzim diminta mengulas video viral, memaparkan pelanggan lelaki dan perempuan terpaksa berasak-asak untuk mendapatkan nombor giliran bagi membeli koleksi terbaharu sebuah jenama tudung popular.

“Pemilik (perniagaan) perlulah adakan sistem nombor giliran yang sistematik, contohnya minta pelanggan daftar terlebih dahulu menerusi laman web demi atasi masalah kesesakan sebegini.

“Selain itu asingkan pelanggan ikut jantina, yang lelaki satu barisan yang perempuan satu barisan supaya tak bercampur.

“Peniaga dan pelanggan perlu jaga kepentingan dan hak masing-masing dalam melakukan aktiviti jual beli. Tolak menolak tidak sepatutnya berlaku, pastikan keadaan sentiasa terkawal,” ujarnya.

Video pelanggan bersesak dan saling tolak-menolak tanpa mengira jantina di depan sebuah butik tudung di Bangi kelmarin, mendapat perhatian ramai sehinggakan ada yang menghentam pemilik butik tersebut yang dianggap tidak ambil tindakan sewajarnya sebelum dan ketika kejadian berlaku bagi mengatasi masalah tersebut.

Antara yang memberi komen adalah selebriti Wardina Saffiyah yang menyatakan kekesalannya atas sikap pengusaha hijab yang seakan-seakan bangga apabila ‘lautan’ manusia di hadapan butiknya saling menjerit dan berebut, hingga disifatkan melayan pelanggannya itu seperti lembu.

Sebelum ini pelanggan dilaporkan pernah juga tidur di kaki lima butik semata-mata mahu mengejar koleksi terhad tudung jenama berkenaan, yang akan dijual pada keesokan harinya.

Catat Ulasan Blogger

 
Top