0
A+ A-
KUALA LUMPUR – Seorang penganggur dihukum penjara empat bulan dan denda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas didapati bersalah mencuri telefon bimbit di Plaza Low Yat tahun lepas.

Majistret Nur’Aminahtul Mardiah Md Nor menjatuhkan hukuman itu terhadap Shahrul  Abdul Aziz, 23, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan lapor Bernama.

Kes Curi Handphone Di Low Yat, Shahrul Dipenjara 4 Bulan

“Hukuman tidak semestinya menghukum tetapi memulihkan pelaku. Mahkamah tidak boleh menutup mata dan menafikan kes kecurian yang kerap berlaku. Mahkamah juga mengambil kira sepanjang tempoh dibicara, tertuduh terlibat dengan kes lain walaupun belum disabit.

“Sehubungan itu, mahkamah berpendapat Seksyen 294 Kanun Tatacara Jenayah (bon berkelakuan baik) tidak sesuai dan tidak wajar diberikan. Dengan ini, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara empat bulan dan denda RM1,000 terhadap tertuduh,” katanya.

Beliau turut memerintahkan tertuduh dipenjara sebulan jika gagal membayar denda. Tertuduh membayar denda itu.

Mahkamah membenarkan permohonan peguam Shaharudin Ali yang mewakili tertuduh untuk penangguhan pelaksanaan hukuman penjara sehingga rayuan terhadap keputusan hari ini dan mengekalkan jaminan RM3,000.

Mahkamah membuat keputusan itu selepas mendengar keterangan 10 saksi pendakwaan dan empat saksi pembelaan.

Terdahulu ketika rayuan, Shaharudin memohon mahkamah mempertimbangkan hukuman mengikut Seksyen 294 Kanun Tatacara Jenayah iaitu hukuman berbentuk bon berkelakuan baik kepada tertuduh.

“Dia mencuri telefon kerana tekanan akibat disamun dan kehilangan telefon bimbitnya pada hari sama kejadian di Low Yat,” katanya yang turut memberitahu tertuduh berasal daripada keluarga miskin dengan kedua-dua ibu bapanya merupakan Orang Kurang Upaya pekak dan bisu.

Timbalan Pendakwa Raya S. Malini Anne bagaimanapun membantah hukuman bon berkelakuan baik sebaliknya memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat berbentuk pemenjaraan kerana kesalahan yang dilakukan adalah serius selain kes itu telah menimbulkan isu perkauman.

“Saya membantah bon berkelakuan baik kerana kes ini adalah satu kes di mana perbicaraan penuh telah dijalankan dan mahkamah mendapati tertuduh bersalah,” katanya.

Shahrul Anuar didakwa mencuri telefon bimbit berharga RM800 di Techasia Boutique, Plaza Low Yat, Bukit Bintang, pada pukul 4.47 petang, 11 Julai tahun lalu, mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda.

Pada 24 Feb 2016, tertuduh sekali lagi dihadapkan ke mahkamah dan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mencederakan seorang mekanik menggunakan parang di Jalan Jelatek di sini pada 20 Feb lepas.

Sebelum ini, dia didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan mengambil dadah syabu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini.

Catat Ulasan Blogger

 
Top