3
A+ A-
Seorang lelaki yang enggan dikenali meminta agar kisahnya dan rakannya yang teraniaya semasa melancong ke Brunei ini disiarkan oleh kami.

Menerusi inbox Mazeer Network, kami kongsikan kepada anda kisah yang sangat mendebarkan bagaimana mereka dianiaya oleh seorang lelaki yang mendakwa sebagai pemandu pelancong.

Mereka berharap agar kisah ini dapat memberi pengajaran terutama kepada anda yang ingin melancong ke negara Brunei. Ikuti kisahnya.

Dugaan Ramadan, Dua Backpackers Rakyat Malaysia Dianiaya Di Brunei

Assalamualaikum.. 

Saya ingin kongsikan pengalaman saya semasa bercuti di Brunei baru-baru ini. Semoga dapat dijadikan pengajaran dan iktibar kepada semua yang membaca.

Pada 8/6/16, saya bersama rakan saya menaiki pesawat terbang ke Brunei, alhamdulillah kami tiba dengan selamat. Selepas tiba di lapangan terbang, saya menaiki bas ke terminal Bandar Seri Begawan kemudian terus ke tempat penginapan kami yang terletak di belakang terminal tersebut. kami tinggal di guesthouse yang menawarkan harga yang murah ($30/2 orang ).

Segalanya berjalan lancar pada hari pertama, kami berbuka puasa dan solat terawih di Masjid Sultan Omar Ali Saifuddien. Kemudian kami pulang ke tempat penginapan tidur dan rehat bagi menghadapi hari berikutnya. Pada keesokan hari (9/6/16) kami mendaftar keluar dari penginapan kami dan merancang untuk menginap di pusat belia Brunei kerana harganya lebih murah sedikit (10$/1 orang).

Nak Melancong Ke Brunei? Baca Pengalaman Backpackers Malaysia Teraniaya Ini Dahulu.
Ini gambar penginapan di kg Ayer

Kemudian kami berjalan di sekitar bandar dan membeli sedikit barang untuk dibawa pulang ke Malaysia. Selepas selesai, saya dan kawan saya meneruskan perjalanan untuk ke pusat belia. Tiba- tiba kami ditegur oleh seorang lelaki yang menawarkan perkhidmatan keliling Sungai Brunei, Kg Ayer kepada kami. Mungkin gaya kami membawa beg besar memudahkan dia mengecam kami adalah pelancong.

Pada mulanya kami tidak mahu melayan tetapi dia tetap mengekori kami dan bertanya kami menginap di mana. Memandangkan kami tidak menyangka sesuatu yang buruk, kami jujur memberitahu kami mahu ke pusat belia. Kemudian dia mengatakan pusat belia ditutup pada hari ini. 

Tetapi kami tidak percaya kerana hari sebelumnya kami telah ke sana dan bertanya kepada penjaga pusat belia tersebut. Tetapi lelaki tersebut beria-ia mengatakan pusat belia ditutup dan mahu mengikut kami ke sana jika kami tidak percaya. Kerana dia merupakan orang tempatan dan mendakwa dia bekerja sebagai pemandu pelancong, selain layanannya yang baik dan bermulut manis, kami percaya. Dia menawarkan penginapan di Kg Ayer dengan harga $30/2 orang. Dia mengatakan dia memiliki homestay untuk penginapan. Setelah berbincang kami pun bersetuju dan menaiki bot ke kg Ayer.

Dua Backpackers Rakyat Malaysia Dianiaya Di Brunei
Ruang dalam bilik

Kemudian semasa sampai di jeti dia bertanya adakah kami sudah makan, kami memaklumkan kami sedang berpuasa. Dia mengaku dia tidak berpuasa kerana letih bekerja. Kami dibawa masuk ke rumah dan meletakkan barang- barang kami. Kami diberikan kunci bilik kami. Sebelum keluar kami membiarkan kipas dan sebuah penghawa dingin dalam keadaan terbuka kerana suhu yang agak panas.

Sebelum keluar bilik, lelaki itu beberapa kali menunjukkan kepada kami, bahawa bilik sudah terkunci dengan betul dan selamat. Dia mahu kembali ke bandar untuk mencari pelancong lain pula katanya. Dia sempat berpesan jika kami diganggu sebut sahaja nama seorang kawannya yang dikatakan seorang taiko di kg tersebut. KamiSaya mula curiga adakah keadaan di situ tidak selamat. tetapi saya membiarkan perasaan itu berlalu begitu sahaja. 

Seterusnya, kami bersiar-siar di sekitar kg Ayer dan menunaikan solat di surau. Kemudian kami pulang ke rumah untuk kembali ke bandar untuk berbuka puasa di Masjid Sultan Omar Ali Saifuddien. Selepas selesai terawih kami terserampak dengan lelaki itu sedang berjalan-jalan menegur orang yang lalu lalang terutamanya para pelancong. Kebetulan pada masa itu dia sedang mengekori 2 orang perempuan juga dari Malaysia dan dia juga menawarkan khidmatnya tetapi permepuan itu enggan. Dia mengekori 2 perempuan tersebut sambil meminta nombor telefon dan juga facebook. Tetapi tidak dilayan. 

Kemudian, dia menawarkan kami untuk ke Istana Darul Iman untuk bergambar. Bayaran untuk bot adalah sebanyak $2/1 orang. Kami bersetuju tetapi semasa dalam perjalanan dia mendakwa air sungai cetek dan tohor menyukarkan laluan dan terpaksa menggunakan laluan yang lain yang lebih jauh. Dia meminta kami membayar $15/2 orang untuk perjalanan pergi dan balik ke penginapan. Kami bersetuju. Pada jam 9.30 malam kami sampai di perhentian untuk ke istana. Selepas satu jam kami kembali ke bot dan menuju pulang ke tempat penginapan. Semasa dalam perjalanan dia meminta bayaran tambahan sebagai saguhati untuk pemandu bot. Walaupun agak keberatan saya memberikan $5 kepada dia. Dia menawarkan untuk membeli makanan untuk bersahur, kami memberikan wang dan dia akan datang ke tempat penginapan selepas membeli makanan kami,.

Kami sampai di tempat penginapan sekitar jam 11.15 malam dan dia mengatakan akan pulang sebelum jam 12 malam. Dia ada menyebut mahu mencari perempuan mat saleh yang tidak mempunyai tempat tidur untuk dibawa balik menginap di rumah itu kerana terdapat satu lagi bilik tambahan di rumah itu. Kemudian kami masuk ke rumah dan mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena kerana suis kipas dan pendingin hawa yang kami tinggalkan dalam keadaan hidup telah dimatikan dan suis telah dicabut dari plag. Kami mula berasa kurang senang. Kami mengagak dia mempunyai kunci lain untuk masuk ke bilik.

Sedang kami duduk berehat sekitar jam 11.30 terdengar orang mengetuk pintu rumah, kami menyangka dia sudah pulang. Tetapi sangkaan kami meleset sama sekali ada 2 orang lelaki menendang pintu sehingga terbuka. Kami terkejut dan takut. Hanya Allah yang tahu perasaan kami ketika itu. 2 lelaki tersebut bertanya kami siapa. Kami berterus terang mengatakan kami dari Malaysia dan menyewa untuk bermalam di rumah itu.

2 lelaki itu memberitahu kami bahawa pemandu pelancong itu baru sahaja dibebaskan dari penjara atas kesalahan merogol dan mencuri. Dia baru dibebaskan 2 bulan setelah meringkuk di penjara. 2 lelaki tersebut mendakwa mereka adalah polis dan mereka menggeledah rumah itu kerana mengesyaki pemandu pelancong itu telah mencuri sebuah kamera dan kunci rumah.  Keadaan sedikit kecoh kerana terdapat beberapa penduduk kampung yang menasihatkan kami supaya segera meninggalkan rumah itu kerana bimbang berlaku perkara buruk.

Walaupun kami telah membayar duit sewa pada malam itu kami rela kerugian wang kerana keselamatan dan nyawa kami lebih penting dari wang.

Tanpa berfikir panjang kami mengemas semua pakaian dan terus keluar dari rumah tersebut dan meminta bantuan 2 lelaki tadi memanggil bot untuk kami menyeberang ke bandar. menurut 2 lelaki tadi, rupa- rupanya pemandu pelancong itu sering melakukan gangguan seksual kepada pelancong yang dibawa balik ke rumah itu serta mencuri barangan pelancong. Kami lega kerana kehadiran 2 orang lelaki itu membantu menyelamatkan kami. Kami menaiki bot terus ke jeti. Kami berjaya lari sebelum pemandu pelancong itu pulang. 

Bot terus memecut menuju ke jeti. Kami berdebar- debar untuk sampai ke seberang. Tiba- tiba sebelum bot kami sampai di jeti sesuatu yang tidak dijangka berlaku. Pemandu pelancong tersebut sedang menunggu di jeti yang kami ingin kami tuju. Kami jadi bingung dan takut. Mujurlah kami pantas meminta pemandu bot untuk berpatah balik dan pergi ke jeti lain. Pemandu pelancong itu menjerit ke arah bot kerana berpatah balik. Kami menceritakan hal sebenar kepada pemandu bot. 

Pengalaman Backpackers Malaysia Teraniaya Di Brunei
Jeti ke rumah penginapan

Nasib kami baik kerana pemandu pelancong itu tidak nampak kami kerana keadaan gelap. Pemandu bot berpesan kepada kami supaya tidak mudah percaya kepada orang yang tidak dikenali. Kami selamat tiba di bandar dan terus berjalan kaki ke balai polis kerana di situlah tempat paling selamat yang terlintas di fikiran pada masa itu. Kami sampai di balai polis pada jam 12.40 pagi.

Kami menceritakan hal tersebut kepada polis dan kami dibenarkan bermalam di balai polis sehingga keesokan hari. Terima kasih kepada pihak polis yang telah membantu kami. Kami bangun pada waktu sahur hanya makan roti dan kurma yang dibawa dari Malaysia dan hanya meminum air paip sahaja. Namun tetap bersyukur atas rezeki itu. Kami sangat terkejut dan tidak menjangka perkara sebegini akan terjadi.

Pada pagi itu (10/6/16) kami terus ke masjid untuk menunaikan solat subuh. Kami tidak berjalan di sekitar bandar kerana risau terserempak dengan pemandu pelancong itu lagi. Selepas solat jumaat kami terus menaiki bas ke lapangan terbang untuk menunggu pernerbangan balik ke Malaysia pada keesokan hari.

[Gambar Tidur di balai polis terpaksa dipadam atas permintaan]

Kami mengucapkan syukur kepada Allah kerana telah menyelamatkan kami. kami tidak dapat membayangkan apa yang akan terjadi sekiranya kami tidak lari dari rumah itu. Syukur Alhamdulillah.

Kepada semua sila berhati- hati semasa ke tempat baru dan jangan mudah percaya kepada orang yang tidak dikenali. Berwaspadalah walaupun ramai mengatakan tempat itu selamat tetapi bahaya tetap ada di mana-mana.

[KEMASKINI]

Selepas viralnya kisah backpackers Malaysia yang teraniaya di bumi Brunei ini, seorang rakyat Brunei tampil bertanyakan kepada kami mengenai fizikal si pemandu pelancong itu yang mungkin dikenal olehnya.

[Screenshot perbualan terpaksa dipadam atas permintaan]

Sejurus itu, kami terus forwardkan mesej tersebut kepada backpackers Malaysia yang teraniaya itu dan ini merupakan jawapan dari mereka.

Pemandu Pelancong Penipu Di Brunei

Dan inilah wajah 'tour guide' yang menganiaya backpackers Malaysia di Brunei itu. Sila berhati-hati.

Tour Guide Penipu Brunei

Catat Ulasan Blogger

  1. Salam. Would like to say sorry on behalf of Bruneian. :( Bukan semua orang Brunei mcm itu. Some of them, di mana mana negeri akan ada orang yang seperti itu. If you want to visit our country again. Dont hesitate to contact me. Ill bring you tour around Brunei. :)

    BalasPadam
  2. Waah~ Alhamdulillah kamu selamat daripada musibah itu .. Hmmm memang di kawasan Kg. Ayer banyak "penyangak" atau scammers .. tetapi di tempat lain kawasan Brunei in syaa Allah selamat. Mudahan ada visit ke Brunei selepas ne ada kenalan yg boleh tolong bawa jalan2 ....

    BalasPadam
  3. https://www.facebook.com/FantasticBruneiIssue/photos/a.160212084042352.41565.158838210846406/1120457354684482/?type=3&theater

    BalasPadam

 
Top