Header Ads

"Kau Pernah Dengar Air Zamzam Special?"

Air Zamzam Special

Masa aku tengah duduk bercangkung mengisi air zamzam ke gelas plastik warna putih untuk diminum, tiba-tiba ada seorang jemaah haji Malaysia datang menyapa.

“Kau belajar sini ke? Dah berapa tahun?”

“Haah bang. Baru saja 3 tahun.”

“Aku ada nak tanya benda ni, apa beza air zamzam ni dengan air zamzam special ya?” soal abang tadi pada aku sambil menunjukkan jari telunjukknya ke arah tong air zamzam yang ada di depan.

Terkejut pula aku, tak pernah dengar lagi fasal air zamzam special.

“Aku pernah dengar ustaz-ustaz duk meniaga. Katanya air zamzam special ni jenis yang nabi minum dulu. Lepas tu, dia beritahu yang air zamzam ni diambil dari telaga lain,” sambungnya lagi dengan panjang lebar, nak beri aku faham.

“Ai, tak pernah dengar tu bang. Setahu saya, telaga zamzam ni ada satu itu je dekat Mekah. Tak ada lagi dah yang lain. Zamzam yang ada dalam masjid ini, zamzam inilah juga yang ada dari zaman nabi dulu. Pihak masjid dah sedia yang baik untuk jemaah semua,” terang aku serius. Dia mengangguk berkali-kali.

“Itulah. Aku nak percaya pun macam pelik. Tak nak percaya, ustaz pula yang cakap. Harga dah konfemlah lagi mahal,” luahnya lagi. Aku sekadar mendengar sajalah.

Air zamzam pada awalnya ditemui oleh Siti Hajar dan anaknya Nabi Ismail di satu kawasan padang pasir yang kering kontang, tiada satu pun penduduk yang menetap di sana. Kira-kira 2000 tahun yang lampau.

Zaman berganti zaman, kemudian dikorek menjadi telaga yang kedalamannya hanya 30 meter sahaja. Difahamkan bahawa telaga yang berada sekitar 21 meter dari Kaabah ini menghasilkan air sebanyak 11-18.5 liter persaat. 660 liter seminit dan 40 000 liter untuk sejam. Peh, laju dan banyak sekali!

Jadi tidaklah pelik sehingga ke hari ini, air zamzam tak pernah terputus bekalannya walau Mekah dan Madinah menerima tetamu haji dan umrah yang berjuta-juta ramainya dalam satu masa.

Jika kalian nak tahu, di sekitar Mekah terdapat banyak lagi telaga yang digunakan penduduk untuk kegunaan harian. Namun bagi air zamzam ini, lain. Terdapat beberapa keunikannya yang tersendiri. Antaranya adalah:

1. Ia mengandungi zat florida yang berkhasiat dan berfungsi membunuh kuman.

2. Kandungan iodinnya lebih tinggi. Juga dikenali dengan nama kelenjar Thyroid bagi menghasilkan hormon thyroxine. Pentingnya nutrisi ini pada manusia adalah bagi mencegah kelesuan, tidak bertenaga, sistem imune yang lemah, metabolisma rendah, autism, pertambahan berat badan dan gangguan mental seperti tekanan dan keresahan.

3. Kandungan kalsium dan garam lebih tinggi. Menjadikannya lebih berkhasiat, cepat menghilangkan rasa haus dan memberikan kesan penyembuhan.

4. Paling ajaib adalah telaga yang lain sudah kering atas faktor cuaca yang panas, namun tidak bagi telaga zamzam.

Ada kajian pakar mengatakan air zamzam ini dapat mengubati beberapa penyakit seperti radang mulut dan gigi, sakit sendi, sembelit dan dehidrasi pada bayi.

Seorang doktor pakar perubatan dari Jerman, Doktor Knut Pfeiffer membuat kesimpulan dari kajiannya bahawa air zamzam mampu memberikan kesan pada sel-sel dalam tubuh manusia berbanding air yang lain di Munich. Menjadi sumber tenaga manusia, penyembuh dan terapi buat manusia. Beliau masih beragama Kristian ketika mengkaji perkara ini.

Di Jepun pula, ada seorang pengkaji bernama Masaru Emoto, mengkaji kesan molekul air terhadap manusia. Beliau mendakwa air zamzam ini mampu bertindak sebagai pita magnetik, menarik dan menyimpan pesanan seseorang. Fokus di saat ingin minumnya, dan air zamzam akan mempengaruhi tubuh manusia dengan apa yang mereka harapkan. Katanya lagi, kristal dan molekul yang terkandung dalam air ini berupaya mempengaruhi apa-apa di sekitarnya.

Benarlah apa yang nabi (selawat) ajarkan dari dulu, baca doa ini sebelum minum air zamzam.

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْماً ناَفِعاً ، وَرِزْقاً وَاسِعاً وَشِفَاءً مِنْ كُلِّ دَاءٍ

Maksudnya: Ya Allah aku memohon pada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang luas, dan kesembuhan dari segala macam penyakit.

Ada juga hadis lain yang menyatakan air zamzam itu mengikut apa yang diinginkan oleh peminumnya. Oleh itu, berdoalah pada Tuhan apa sahaja. Moga dikabulkan insha-Allah.

Kata nabi (selawat) lagi, air zamzam ini adalah sebaik-baik air yang ada di muka bumi. Ia boleh mengenyangkan si peminum dan juga dijadikan sebagai ubat bagi penyakit.

Itulah sedikit sebanyak yang aku boleh kongsi berkenaan keajaiban air zamzam. Ada banyak lagi sebenarnya yang sudah dikaji oleh ilmuan dunia. Namun hakikatnya, ilmu Allah itu tersangatlah luas. Rahmat-Nya juga meliputi seluruh alam ini buat kita. Jika mampu, amalkanlah meminum air zamzam kerana padanya ada keberkatan.

Buat para jemaah, ketahuilah air zamzam yang kalian sedang minum itu adalah asli. Yang jenis itulah ada dari zaman Nabi dahulu lagi, tak ada jenis VIP dan lain-lain. Jika ada sekalipun, kitalah yang sepatutnya layak meneguknya masuk ke mulut, membasahi saluran di dalam usus perut.

Kerana kita adalah umat Nabi Muhammad (selawat) sendiri. Hadiah Tuhan buat kita. Tak perlu dibezakan mengikut wang ringgit. Minumlah dengan nama Allah. Berdoalah dengan nama Allah. Berharaplah hanya pada Allah.

Ustaz-ustaz yang berniaga itu? Hm, entahlah. Jujurlah kita.

Semoga tulisan ini ada manfaat buat semua, insha-Allah.

Peminum Tegar Air Zamzam.

Tiada ulasan:

Dikuasakan oleh Blogger.