Header Ads

'UMNO tolonglah jangan buang masa lagi pertahan Najib' - Anuar Musa



Tan Sri Annuar Musa berkata parti itu tidak boleh lagi membuang masa mempertahankan bekas presiden Datuk Seri Najib Razak.

Beliau juga menyifatkan Najib - yang kini berdepan tujuh pertuduhan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram - sebagai "beban" yang tidak lagi boleh dipikul Umno.

“Kami perlu teruskan perjalanan ini. Kami tidak akan tunggu. Kami tidak akan bazirkan masa mempertahankan Najib.

“Kami dalam Umno tidak boleh bawa beban ini selamanya. Perlu diputuskan. Jika ini semua tanggungjawab beliau (Najib)," katanya (gambar) seperti dipetik The Malaysian Insight.



Kenyataan itu sehari selepas Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata Najib tetap perlu dihormati.

Zahid mengulas kenyataan bekas menteri Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang berkata Najib tidak seharusnya berkempen untuk BN di PRK Sungai Kandis minggu lalu.

'Takkan kerana seorang'

Sementara itu, Annuar berkata Umno perlu menumpukan usaha membina semula parti itu kerana ia lebih penting daripada mana-mana individu.

“Najib hanya satu orang, tidak ada orang yang amat diperlukan. Najib bukan lagi presiden parti, bagi saya beliau hanya ahli parti. Sama ada orang sokong dia atau tidak, ia tidak penting.

"Parti lebih penting berbanding mana-mana individu. Najib sudah melepaskan semua jawatannya dan kini parti di bawah pentadbiran baru. Kami akan buat dengan cara baru.

"Kami tidak akan tunggu Najib selesaikan kesnya di mahkamah,” kata anggota parlimen Ketereh itu lagi.



Annuar merupakan pembela Najib paling lantang dalam berhubung skandal 1MDB sebelum kekalahan BN pada PRU ke-14.

Namun beliau kini nampaknya menjarakkan diri daripada isu itu kini.

Dulu pemimpin Umno bertanggungjawab mempertahankan Najib kerana beliau adalah perdana menteri dan presiden parti, katanya lagi.

"Saya fikir ia sangat mudah. Najib dulu perdana menteri dan presiden parti. Bila ada kontroversi, kami ada etika asas tertentu, amalan dan juga tradisi.

"Ada prinsip tanggungjawab kolektif dan kecenderungan untuk meragui kepimpinan tertinggi berkenaan perkara tertentu," katanya.

Bukan Umno undang Najib



Berhubung penglibatan Najib di Sungai Kandis, Annuar menyuarakan perkara sama seperti Zahid iaitu kehadirannya atas jemputan calon BN Datuk Lokman Noor Adam.

"Apabila kita semak, calon kita Lokman yang jemput dia. Kita tidak halang (Najib) kerana dia ahli parti.

"Hendak kata strategi utama kita ialah menjadikan Najib sebagai jurukempen utama adalah salah. Itu saya boleh jamin, bukan strategi kita. Keputusan kita ialah kempen di Sungai Kandis tanpa Najib," katanya.

Lokman tewas di tangan calon PKR Mohd Zawawi Ahmad Mughni dengan hanya mendapat 38 peratus daripada jumlah undi.

sumber artikel : https://www.malaysiakini.com/news/438107

Tiada ulasan:

Dikuasakan oleh Blogger.